KUALA LUMPUR – Tengku Razaliegh Hamzah adalah individu yang paling layak menjadi Presiden UMNO berbanding Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Ketua Puteri Bahagian Seputeh, Nurul Hazwani Haslan berkata, kini Tengku Razaleigh atau lebih dikenali Ku Li diyakini boleh memimpin UMNO khususnya pada waktu genting selepas kekalahan parti itu pada pilihan raya yang lalu.
“Kehadiran saya di sini adalah menyatakan sokongan padu kepada Ku Li, kami yakin dengan kepimpinannya kami yakin dengan pengalamannya yang kami anggap guru.
“Pendapat peribadi saya dan rakan-rakan yang ada hari ini bahawa beliau adalah satu-satunya calon yang layak diangkat pada ketika ini di mana UMNO di ambang gelora,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama Ku Li dan sayap-sayap parti itu di kediamannya di sini hari ini.
Dianggarkan lebih 100 perwakilan UMNO yang terdiri daripada wakil daripada sayap parti.
Beliau dalam pada itu yakin ramai yang akan menyokong Ku Li berdasarkan kemampuannya pada pemilihan Sabtu ini. -MalaysiaGazette