Home Nasional Lunas pinjaman PTPTN tanggungjawab moral – Maszlee

Lunas pinjaman PTPTN tanggungjawab moral – Maszlee

Dr Maszlee Malik
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik. foto IQBAL BASRI, 07 JUN 2018

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) perlu dilunaskan sebagai tanggungjawab moral.

Beliau berkata, walaupun Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan mengotakan janji dan manisfestonya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), namun para peminjam digalakkan membayar balik pinjaman yang telah dilakukan.

“Kerajaan Pakatan Harapan telah buat janji dan kita akan laksanakan janji-janji kami. Walaupun begitu menjadi tanggungjawab moral setiap rakyat Malaysia iaitu bila mereka telah meminjam mereka harus membayar.

“Ia membatasi kepercayaan agama, kita percaya bila kita ambil pinjaman, kita kena bayar balik, itu tanggungjawab moral, itu perkara asas.

“Kita menggalakkan (bayar balik) berdasarkan tanggungjawab moral untuk sesiapa yang meminjam tak kira PTPTN, hutang bank, pinjam dengan adik-beradik, ayah dan rakan-rakan.

“Bagi orang Islam kita tahu kalau tak bayar hutang kita akan dituntut akhirat nanti,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Pengerisi PTPTN Wan Saiful Wan Jan semalam yang mengesahkan seramai 429,945 peminjam kini bebas dari disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan boleh ke luar negara sejak awal Jun ini.

Wan Saiful berkata, proses menyenarai putih itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 24 Mei hingga 8 jun lalu.

Langkah terbaru itu membolehkan 1.8 juta peminjam PTPTN yang sepatutnya membuat bayaran balik, layak ke luar negara, memperbaharui pasport dan membuat pasport baharu tanpa sekatan Imigresen. – MalaysiaGazette