PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyifatkan tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyamar dan menggunakan identiti pegawainya berhubung pemberian kontrak secara rundingan terus sebagai cubaan merosakkan karekternya.
Beliau menegaskan, perkara itu amat serius dan bertentangan dengan amalan serta prinsip ketelusan Pakatan Harapan yang mahu semua pemberian tender dan kerja-kerja pembangunan dibuat melalui tender terbuka.
“Surat palsu, surat penuh fitnah yang bertujuanĀ membunuh karakter saya dan memberi nama buruk kepada KPM dengan menggunakan salah seorang daripada pegawai saya.
“Saya memandang serius terhadap apa yang terjadi kerana ini merupakan satu cubaan buruk untuk melakukan penyelewengan kuasa dengan menggunakan identiti pegawai menteri,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas tindakan individu beberapa hari lalu yang menghubungi Pejabat Pendidikan Daerah Miri Sarawak dan menyamar sebagai Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pendidikan, Anuar Isa.
Individu berkenaan mahu mendapatkan maklumat sekolah-sekolah yang memerlukan kerja penyelenggaraan, yang mana kononnya Menteri Pendidikan akan membuat lantikan terus kontraktor untuk kerja-kerja penyelenggaraan berkenaan.
Maszlee selaku Ahli Parlimen Simpang Renggam juga berkata, satu laporan polis telah dibuat pihaknya untuk menyekat kegiatan penyamaran tersebut.
“Saya yakin pihak polis akan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Saya memberi amaran keras tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menggunakan nama saya atau nama KPM atau nama mana-mana pegawai KPM dengan cara yang salah untuk apa-apa kepentingan,” tegasnya.
Katanya lagi, beliau tidak menolak kemungkinan penyamaran itu dilakukan untuk mengalih perhatian umum terhadap usaha kementeriannya mendedahkan penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai kerajaan.
“Pembongkaran-pembongkaran terhadap KPM dalam usaha untuk melarikan perhatian massa daripada isu asas yang cuba dibawa dalam KPM iaitu perubahan dalam pendidikan iaitu budaya pendidikan yang lebih baik.
“Taktik itu juga untuk mengalih usaha kami dalam membantu SPRM mendedahkan beberapa salah laku oleh pegawai kerajaan dan beberapa kontraktor sebelum ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette