PUTRAJAYA – Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) membuat tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk kembali membuka fail siasatan kes penyelewengan melibatkan beberapa entiti Felda.
Laporan berhubung beberapa entiti ini yang disyaki berlaku penyelewangan melibatkan berbilion ringgit.
Menurut Presiden ANAK, Mohd. Nasaie Ismail, tujuan pihaknya mahu membuat laporan untuk membuka kembali kes-kes lama oleh SPRM yang selama ini tidak disiasat.
“Kita mahu SPRM buka balik kes lama yang pernah kita buat laporan dulu.Laporan ini bertujuan menyahut komitmen baru Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan kesediaan untuk membuka siasatan terhadap kes-kes lama hampir bertahun lamanya.
“Ini juga merupakan antara usaha untuk melakukan reformasi terhadap Felda dibawah pemerintahan baru bagi mendapatkan semula wang-wang milik Felda yang dipercayai diseleweng oleh pihak berkenaan,” katanya kepada pemberita di luar bangunan SPRM di sini hari ini.
Jelas Nasaie, salah satu laporan itu adalah isu penjualan saham Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) dalam Felda Holdings Berhad kepada Felda Global Ventures (FGV).
“FGV pada tahun 2013 telah membayar KPF dengan persetujuan Lembaga Pengarah pada nilai yang terlalu rendah berbanding harga pasaran iaitu RM2.2 bilion bagi 51 peratus pegangan KPF dan FHB.
“Berbanding Felda Badan Berkanun yang dibayar RM5.7 bilion untuk 49 peratus pegangan dalam FHB, kita mahu SPRM siasat semua ini,” ujarnya.
Sementara dua lagi katanya melibatkan isu pembelian hotel di London, Kuching dan Kota Kinabalu oleh Felda Investment Corp (FIC) dan pembelian Eagle High Plantation oleh FIC Properties.
“Walaupun sebelum ini pernah ada tangkapan dan siasatan dilakukan terhadap bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad serta beberapa pegawai kanan namun belum ada sebarang pendakwaan dilakukan.
“Dalam isu pembelian Eagle High pula, timbul pelbagai keraguan berkenaan hubungan pemilik Rajawali Group iaitu Peter Sundakh dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,” tegasnya. – MalaysiaGazette