Home Utama Projek solar: Pengarah syarikat direman

Projek solar: Pengarah syarikat direman

Seorang pengarah syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan tahanan reman bagi membantu siasatan kes projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak membabitkan kos RM 1.25 billion di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2018.
Seorang pengarah syarikat dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk mendapatkan tahanan reman bagi membantu siasatan kes projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah di Sarawak membabitkan kos RM 1.25 billion di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 29 JUN 2018.

PUTRAJAYA – Seorang lagi pengarah sebuah syarikat yang berpengkalan di Bintulu direman lima hari untuk membantu siasatan kes penyelewengan pemberian kontrak projek hibrid solar kepada 369 sekolah pedalaman di Sarawak.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman terhadap suspek berusia 39 tahun itu bermula hari ini hingga 3 Julai ini untuk memberi ruang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan kes tersebut.

Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dengan berpakaian lokap dan tangan bergari tepat pukul 9.20 pagi tadi dengan diringi tiga pegawai SPRM.

Semalam, suspek ditahan SPRM kira-kira pukul 7.45 malam selepas hadir untuk memberi keterangan sebagai membantu siasatan SPRM berhubung projek membekal dan memasang panel tenaga solar kepada 369 sekolah melibatkan kos sebanyak RM1.25 bilion.

Suspek merupakan individu ketiga yang ditahan SPRM dalam siasatan kes tersebut.

Suspek ditahan dan sedang disiasat dibawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 kerana kesalahan meminta rasuah.

Pada awal Jun lalu,  sebuah portal berita melaporkan kemungkinan wujud penyelewengan dalam pemberian kontrak propjek itu di Sarawak didakwa diberikan melalui penganugerahan kontrak secara langsung atas arahan seorang bekas pemimpin tertinggi negara.

Pemimpin itu juga didakwa mengarahkan kementerian Pendidikan pada Januari 2017 agar melantik sebuah syarikat perniagaan kereta sewa di Bintulu bagi projek hibrid solar sekolah pedalaman tersebut.

Pada 11 Jun lepas, Menteri Pendidikan Maszlee Malik pula berkata, kementerian telah memulakan siasatan dalaman untuk mengenalpasti individu yang terlibat dalam isu penyelewengan projek tenaga solar itu.

Terdapat 369 sekolah di Sarawak yang hanya menggunakan genset diesel untuk penjanaan elektrik kerana tidak mempunyai bekalan elektrik tetap.

Bermula Januari 2017, Jepak Holding Sdn. Bhd. yang asalnya satu daripada kontraktor terlibat telah diberikan kontrak membekalkan elektrik kepada semua 369 sekolah itu bagi tempoh tiga tahun sehingga 31 Disember 2019 dengan nilainya melebihi RM1 bilion termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). – MalaysiaGazette