Home Politik Selamat tinggal UMNO, kata Syed Hamid

Selamat tinggal UMNO, kata Syed Hamid

Syed Hamid Albar

KUALA LUMPUR – Bekas menteri dan ahli politik veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Syed Jaafar Albar hari ini mengumumkan keluar dari parti itu selepas sebahagian besar hidupnya dihabiskan untuk demi parti itu sebelum ini.

Syed Hamid dalam satu kenyataan mendedahkan dirinya sudah tidak lagi percaya dengan UMNO kini dan membuat keputusan untuk meninggalkan parti ini berkuatkuasa serta merta.

Menurutnya, UMNO bukan lagi parti yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu.

UMNO ialah pertubuhan yang bersifat mementingkan diri sendiri dan hanya mengutamakan kelangsungan sendiri berbanding mengambil berat hal rakyat, dakwanya.

“Ini sangat lain satu ketika dahulu malah saya telah bergelumang dengan UMNO sejak zaman allayarham ayah saya dahulu yang turut bersama-sama memperjuangkan kemerdekaaan.

“UMNO ketika itu bukan sahaja memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam malah lain-lain bangsa dan agama juga menjadi keutamaan. Rakyat adalah segala-galanya. Ianya sudah berubah kini.

“Ini adalah parti yang benar-benar mengambil berat orang Melayu dan pada masa sama melayan bangsa lain secara sangat seimbang, adil dan pemurah.

“Apa yang saya lihat kini hanyalah segelintir pemimpin yang begitu pentingkan diri dan agenda peribadi. Rakyat serta kepentingan mereka sudah tidak lagi menjadi keutamaan,” katanya lagi.

Jelas bekas Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat itu lagi, kepemimpinan UMNO sejak beberapa tahun kebelakangan ini sebenarnya telah memusnahkah imej, reputasi serta nama baik parti apabila membiarkan amalan salah guna kuasa dan rasuah.

“Saya sudah tidak dapat terima atau bertolak ansur dengan semua ini lagi. Idealogi dan falsafah sudah berubah dan semuanya sudah diketepikan,” ujarnya.

Tambah pemimpin yang sudah bersama UMNO selama lebih 60 tahun itu, beliau sudah tidak mampu berpura-pura dan mengatakan UMNO dulu dan kini adalah sama.

“Tidak pernah saya terfikir untuk keluar dari parti ini tetapi ini adalah hakikat pahit yang saya terima.

“Mungkin sebelum PRU-14, ada yang pernah terdengar saya memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan, yang belum tahu, kini anda tahu saya bukan lagi anggota UMNO dan sudah keluar parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette