Home Nasional Sifat berlagak, sombong punca UMNO kalah

Sifat berlagak, sombong punca UMNO kalah

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Sifat berlagak dan sombong pemimpin UMNO antara punca utama kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

Itu kata calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang percaya ada pemimpin parti itu yang bersikap demikian sebelum ini.

“Ada antara pemimpin kita yang berlagak sombong, ekstremis serta seolah-olah macam elitis, tidak mahu bergaul, bercampur orang ramai dan rakyat susah untuk berjumpa mereka.

“Masa nak undi, sanggup turun ke bawah tetapi selepas dipilih, bergaya hidupnya, menunjuk-nunjuk ada harta lebih daripada biasa. Apa semua ini? Disebabkan ini, mereka marah kepada kita (UMNO),” katanya.

Tengku Razaleigh berkata demikian dalam rancangan debat calon Presiden UMNO yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Awani malam tadi.

Menurut veteran UMNO itu lagi, ahli dan pemimpin UMNO perlu didoktrin untuk memahami makna politik wang yang bukan sahaja sudah menjadi barah, malah budaya hidup dalam parti itu.

Dalam pada itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga calon presiden parti berkenaan berkata, kegagalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 adalah akibat prestasi tidak cemerlang rakan komponen yang sekadar memperoleh tiga kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Kita perlu melihat pada realiti dan undi popular yang memaparkan kita memperoleh 45 peratus dan kegagalan ini dilihat kerana parti komponen lain hanya memenangi tiga kerusi.

“Kita perlu mempraktikkan tanggungjawab secara kolektif dan membuat perubahan bersama-sama, bukan menuding jari semata-mata.

“Kita juga perlu mengatasi masalah sabotaj kerana saya difahamkan ada pemimpin di akar umbi yang berkecil hati kerana tidak terpilih sebagai calon pilihan raya,” ujarnya. – MalaysiaGazette