Home Politik Rakyat marah pemimpin UMNO tunjuk kemewahan

Rakyat marah pemimpin UMNO tunjuk kemewahan

Datuk Seri Raja Nong Chik dan barisan pimpinan UMNO Bahagian Lembah Pantaii pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Pemilihan Jawatan Tertinggi UMNO Malaysia di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 JUN 2018.
Datuk Seri Raja Nong Chik dan barisan pimpinan UMNO Bahagian Lembah Pantaii pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Pemilihan Jawatan Tertinggi UMNO Malaysia di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM), Jalan Susur Damansara, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 30 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Semua pemimpin UMNO dinasihatkan agar jangan menunjuk kemewahan jika parti itu kembali berkuasa semula.

Bekas Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, pengalamannya selama 33 tahun dalam politik telah melihat sikap segelintir ahli yang berubah penampilan dan gaya hidup apabila mendapat pangkat.

Jelas beliau, perubahan tersebut menyebabkan kemarahan rakyat kepada UMNO selama ini.

“Nasihat saya ini bukan untuk ahli perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai sahaja tetapi ke semua peringkat tertinggi.

“Janganlah hidup mewah. Saya harap kalau UMNO dapat berkuasa lagi, janganlah tunjuk kemewahan. Biarlah merendah diri.

“Sepanjang 33 tahun, saya tengok ramai pemimpin UMNO baik peringkat bahagian atau cawangan, berubah bila naik.

“Mereka berubah cara hidup dan fikiran yang menyebabkan rakyat yang bukan ahli UMNO marah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Lembah Pantai, di Pusat Alumni Universiti Malaya (PAUM) di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Raja Nong Chik melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai kepada timbalan, Datuk Ramlan Askolani.

Seramai 381 perwakilan dari 53 cawangan hadir bagi memilih pimpinan tertinggi parti dan bahagian.

Mengulas lanjut, Raja Nong Chik melahirkan kebimbangan masa depan UMNO sekiranya  keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 tidak ditangani dengan bijak daripada sekarang.

Namun jelas beliau, ahli-ahli parti jangan cepat berputus asa kerana ada formula untuk kembali memperkukuhkan parti.

“Kalau UMNO kalah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), UMNO akan terkubur.

“Jadi ahli parti jangan jadi yes man. Kena tegur pucuk pimpinan parti dan pusat jika berlaku perkara tidak betul,’ katanya.

Raja Nong Chik turut menasihatkan ahli parti yang berusia 72 tahun itu supaya berhenti bersikap sombong dan cakap besar kepada rakyat.

Katanya, sikap sedemikian yang menyebabkan ahli mendapat tempias daripada sikap serta keangkuhan segelintir pemimpin terdahulu.

“Kita juga jadi mangsa (sikap sombong) kepada pemimpin kita yang berpangkat menteri-menteri, berpangkat besar,” katanya. – MalaysiaGazette