Home Utama Sogokan untuk sokongan bukan cara PH

Sogokan untuk sokongan bukan cara PH

LANGKAWI, 30 Jun -- Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Anggota Parlimen Langkawi bersalaman dengan orang ramai ketika tiba pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Parlimen Langkawi di Kompleks Sukan LADA, Kuah hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

LANGKAWI – Kerajaan Pakatan Harapan akan menawarkan perkhidmatan yang boleh memperbanyakkan lagi peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya ini berbeza sekali dengan pendekatan kerajaan lepas yang lebih cenderung untuk memberikan sogokan kewangan bagi mendapatkan sokongan rakyat.

“Bukan cara kita untuk menghulurkan sogokan kepada rakyat dengan harapan sokongan akan diberikan oleh rakyat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Langkawi di Dewan Kompleks Sukan LADA di sini.

Katanya kemenangan beliau sebagai Anggota Parlimen Langkawi dan dua orang lagi calon Pakatan Harapan, iaitu Juhari Bulat sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat dan Mohd Firdaus Ahmad sebagai ADUN Kuah, menjadi bukti rakyat di Langkawi tidak mudah dipengaruhi taktik sogokan yang digunakan oleh BN dalam pilihan raya lepas.

“Saya dengar dalam pilihan raya lepas Barisan Nasional membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menawan hati pengundi tetapi percubaan ini gagal dan rakyat tetap memilih Pakatan Harapan,” katanya.- BERNAMA