Home Dunia 11 sekeluarga maut tergantung secara misteri di New Dehli

11 sekeluarga maut tergantung secara misteri di New Dehli

NEW DEHLI – Seramai 11 orang dalam satu keluarga termasuk dua remaja meninggal dunia secara misteri dengan cara ‘tergantung’ di atas gril besi di kediaman mereka, New Dehli awal pagi tadi.

Lebih menggemparkan penduduk kawasan itu, keluarga yang dikenal ‘Bhatia’ itu normal dan mereka menjalankan perniagaan papan dan barangan runcit.

Menurut agensi berita tempatan, NDTV, tujuh daripadanya adalah lelaki dan seorang warga emas wanita berusi 77 tahun mati dengan mata tertutup dengan kain hitam.

Jurucakap polis New Dehli, Rajesh Khuranna berkata, pihaknya masih lagi menyiasat dari pelbagai aspek namun tidak menafikan seandainya ai merupakan tindakan bunuh diri.

“Masih terlalu awal untuk kita buat keputusan. Kita masih jalankan siasatan dari pelbagai aspek. Keluarga ini mempunyai kedai runcit serta kedai papan di kawasan ini, kita akan siasatan seandainya ianya ada kena mengena dengan hutang. Juga dikatakan terkenal dan berada.

Sebaik tiba di lokasi kejadian kami mendapati 10 daripada 11 ahli keluarga itu dalam keadaan tergantung. Mayat terakhir, seorang wanita berusia 75 tahun, ditemui di lantai mata tertutup. Kita sedang siasat. Kita juga tidak jumpa sebarang nota bunuh diri,” katanya kepada pemberita.

Berita tempatan melaporkan, seorang jiran menemui mayat sekeluarga itu ketika memeriksa kediaman mereka selepas gagal membuka kedai seperti biasa.

Polis kini sedang menyoal siasat jiran tetangga dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu.

Menurut salah seorang jiran, keluarga Bhatia akan membuka kedai runcit dan papan seawal jam 6 pagi setiap hari termasuk hari minggu.

“Cuma kali ini langsung tidak buka kedai, malah rumah juga sunyi sepi. Itu yang menyebabkan kita pergi ketuk pintu mereka dan terkejut lihat mereka tergantung dalam keadaan sedemikian.

“Saya rasa pelik jika mengatakan mereka bunuh diri juga kerana selama ini sangat normal dan gembira. Sangat pelik dan menyedihkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri New Dehli, Arvind Kejriwal yang melawat kawasan itu mengucapkan takziah dan bimbang dengan insiden tersebut.

“Saya telah minta pihak polis untuk jalankan siasatan rapi dengan segera. Ini bukan sesuatu yang kita boleh pandang ringan,” tegasnya. – Malaysia Gazette

alt Arvind Kejriwal