KUALA LUMPUR – Presiden UMNO yang baru dipilih, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau sedia untuk bekerjasama dengan dua lagi calon Presiden iaitu Khairy Jamaluddin, dan Tengku Razaleigh Hamzah.
Menurut beliau, tiba masanya untuk UMNO kembali merapatkan saf setelah kepimpinan terbaharu dibentuk.
“Tidak ada yang kalah dalam proses ini. Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin adalah pemimpin yang diiktiraf sumbangan mereka, dan tetap diperlukan di dalam meniupkan semula roh baharu UMNO.
“Pelawaan saya terus terbuka untuk mereka bersama-sama kepimpinan baharu bagi menterjemahkan pembaharuan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.
Ahmad Zahid secara rasminya diangkat sebagai Presiden UMNO yang ketujuh setelah memperoleh 78 undi daripada 191 bahagian parti itu yang mengadakan pemilihan peringkat tertinggi hari ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan yang menyokong beliau.
“Sesungguhnya pemilihan yang lancar ini adalah manifestasi ahli UMNO yang kasihkan parti serta mahu ia terus bangkit untuk relevan dalam pentas politik tanah air. Kita sudah bergerak merakyatkan UMNO,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata beliau akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi secepat mungkin untuk membincangkan pendekatan yang diambil dalam manifesto semua calon Presiden.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu akan dibantu Datuk Seri Mohamad Hasan yang diangkat sebagai Timbalan Presiden. – MalaysiaGazette