KUANTAN – Enam sekeluarga cedera dan ada yang parah setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mereka naiki melanggar seekor lembu dan terbabas dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 86, Lebuhraya Spine Road, Jalan Lipis-Merapoh, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Lipis Supt Azry Akmar Ayob berkata, dalam kejadian 11.30 tengah malam itu, mangsa yang cedera Wan Azman Wan Ali, 53, isterinya Wan Zuraida Wan Yusof, 53, dan empat anak mereka Wan Ahmad Azri Asyraf, 22, Wan Nurul Naziha, 17, Wan Ahmad Azri Aiman, 13, dan Wan Ahmad Azri Asyrin, 15.
“Semasa kemalangan kesemua mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kota Bharu, namun sebaik tiba di tempat kejadian pemandu kereta itu tidak menyedari terdapat seekor lembu di tepi jalan berkenaan.
“Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan berkenaan sebelum kenderaan itu terbabas lalu melanggar papan tanda berhampiran.
“Keadaan itu menyebabkan ada di antara mangsa yang tercampak keluar dan mengalami cedera parah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata seramai tujuh anggota bomba dari balai Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis yang dimaklumkan tentang kejadian oleh orang awam membantu menyelamatkan mangsa dan kesemua yang cedera telah dihantar untuk mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, Kelantan.
Azry berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian keadaan jalan gelap kerana tidak berlampu, tetapi keadaan jalan kering serta cuaca baik.
“Maklumat lanjut masih belum diperoleh kerana ada di antara mangsa yang masih belum sedarkan diri,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
— BERNAMA