LANGKAWI – Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 adalah di antara undang-undang yang sedang dikaji oleh kerajaan untuk dipinda ataupun dimansuhkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Katanya kajian ini dibuat memandangkan ada di antaranya yang digunakan kerajaan terdahulu untuk menyekat kebebasan rakyat.
“Kita sedang kaji kesan kesan dari banyak undang-undang yang perlu dimansuhkan kerana banyak undang undang ini menekan rakyat tidak memberi kebebasan bersuara, kebebasan surat khabar dan juga kebebasan bertindak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja penyiapan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Langkawi di sini.
Tun Mahathir yang juga Anggota Parlimen Langkawi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu baru-baru ini yang mengatakan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 mungkin akan dikekalkan walaupun Pakatan Harapan pernah berjanji untuk menghapuskannya sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Menurut Mohamad, akta yang memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri seperti dalam mengisytiharkan darurat memberikan kebaikan untuk pegawai kerajaan menjalankan tugas.
Tun Mahathir berkata dalam memberikan pertimbangan kepada undang-undang ini, kerajaan Pakatan Harapan pimpinannya tidak akan menyekat pergerakan parti pembangkang yang pernah memerintah dahulu.
“Kita tidak akan sekat parti-parti lawan seperti Barisan Nasional. Dia nak buat apa pun buatlah. Kita kena pinda banyak undang undang mengikut keperluan,” katanya.
Sementara itu beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memenangi jawatan presiden UMNO semalam.
Menurutnya kemenangan itu cukup besar dan memberi makna bahawa Ahmad Zahid disayangi oleh orang orang UMNO.
— BERNAMA