KUALA LUMPUR – Presiden UMNO yang baharu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan melakukan rombakan untuk jawatan tertentu dalam parti itu.
Katanya, kepimpinan kali ini akan menilai keperluan untuk mewujudkan atau membuat perubahan jawatan yang dilihat sesuai pada masa ini.
“Dalam pentadbiran baharu yang ditentukan oleh perwakilan kita akan lakukan rombakan utama bagi jawatan pegawai-pegawai majlis tertinggi dan juga jawatan-jawatan yang difikirkan sesuai untuk diwujudkan atau diberikan penyesuaian perubahan.
“Kita juga akan melibat jawatan-jawatan pengerusi, timbalan pengerusi perhubungan dan akan disesuaikan mengikut situasi politik setiap negeri berdasarkan penerimaan dan potensi,” katanya ketika sidang media di Menara Datuk Onn sebentar tadi.
Ahmad Zahid berkata, beliau akan menilai peranan yang akan digalas oleh dua calon Presiden, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin seperti yang dijaminnya sebelum ini bagi memastikan mereka boleh membantu pentadbiran UMNO yang baharu.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, bukan sahaja 15 akujanjinya akan dilaksana, malah 8 akujanji Khairy dan 7 akujanji Tengku Razaleigh akan dipertimbangkan bagi dilaksanakan demi mentransformasikan parti itu.
“Akujanji ini akan diteliti oleh saya sendiri dan Timbalan Presiden serta naib-naib kita akan lakukan wacana untuk melihat sama ada keseluruhan transformasi yang dijanjikan oleh semua sebelum ini akan dapat diteliti dan dibincang pelaksanaan.
“Saya juga akan melihat kepada peranan yang akan dimainkan oleh kedua-dua calon Presiden yang tidak dalat memenangi jawatan ini di mana janji saya adalah untuk membawa mereka dan berikan tanggungjawab untuk bersama-sama saya mengorak langkah menuju pembaharuan,” tambahnya lagi. -MalaysiaGazette