Home Utama Kerajaan mahu selaras SOP kahwin bawah umur

Kerajaan mahu selaras SOP kahwin bawah umur

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada majlis Ramah Mesra TPM Bersama Kumpulan Sasaran di perkarangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2018
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada majlis Ramah Mesra TPM Bersama Kumpulan Sasaran di perkarangan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JULAI 2018

PUTRAJAYA – Selain meningkatkan had minimum umur , kerajaan berpendapat perlu ada prosedur operasi standard (SOP) yang diselaraskan di peringkat persekutuan mahkamah syariah untuk perkahwinan di bawah umur,.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, ianya boleh menguatkan mahkamah syariah berhubung kes-kes perkahwinan bawah umur khususnya.

“Sebab itulah yang kita mahu buat (selaraskan persekutuan dan syariah) jadi boleh kuatkan mahkamah syariah. Kalau nak kahwin kena ada sekurang-kurangnya SOP, kena pergi klinik untuk check up, ada atau tidak elemen antun (sexual grooming), bawa kanak-kanak itu untuk buat pemeriksaan psikologi, untuk kepentingan kanak-kanak,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang medianya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kemajuan Masyarakat di Percint 4 hari ini.

Wan Azizah merujuk kes perkahwinan kanak-kanak 11 tahun berkahwin dengan lelaki 41 tahun di Thailand.

Lelaki berkenaan merupakan warganegara manakala kanak-kanak itu dari Thailand.

Mahkamah syariah setakat ini merupakan bidang kuasa kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berpendapat bahawa had minimum umur yang sepatutnya ditetapkan adalah 18 tahun.

“Mahkamah syariah tu akan ada pengecualian untuk beberapa perkara seperti perkahwinan mengikut adad di Sabah Sarawak. Perlu lihat untuk kes ini sahaja (perkahwinan bawah umur), bukan 11 kita cuba untuk buat 18,” tambahnya.

Di bawah Enakmen Keluarga Islam yang dikuatkuasakan di semua negeri, usia minimum bagi lelaki adalah 18 tahun manakala bagi ­perempuan adalah 16 tahun.

Sekiranya mereka di bawah umur, perkahwinan hanya dibenarkan jika ada kebenaran mahkamah dan persetujuan ibu bapa mereka.

Bagi orang bukan Islam, mengikut Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164), usia minimum perkahwinan adalah 18 tahun.

Andainya pasangan itu berusia antara 16 hingga 18 tahun, mereka perlu mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Menteri dan Mahkamah (lihat seksyen 10 dan seksyen 21(2)).-MalaysiaGazette