KUALA LUMPUR – Peletakan jawatan Ketua Eksekutif Astro Malaysia Holdings (Astro), Datuk Rohana Rozhan tidak ada kaitan dengan pelepasan kedudukan dalam kalangan syarikat-syarikat milik kerajaan atau agensi kerajaan.
“Astro bukan milik kerajaan, kerajaan negeri atau GLC,” kata stesen televisyen berbayar itu dalam satu kenyataan.
Malah, katanya, tidak ada eksekutif-eksekutifnya dilantik oleh kerajaan atau pelantikan politik.
Lantaran itu, implikasi bahawa Astro adalah GLC dan eksekutifnya adalah pelantikan politik adalah tidak benar.
Katanya, Astro telah membuat penjelasan bahawa pengumuman peletakan jawatan Rohana yang dibuat pada 7 Jun lalu bagi membolehkan peralihan jawatan dapat dilakukan dengan tersusun.
Rohana masih menjadi CEO Kumpulan dan pengarah eksekutif Astro sehingga 31 Januari 2019.
Jelas Astro, Rohana adalah seorang akauntan profesional dan mempunyai trek rekod yang cemerlang dalam kariernya telah berkhidmat selama 23 tahun dengan syarikat berkenaan.
Rohana juga bukan dilantik oleh kerajaan atau dibuat oleh pelantikan politik. – MalaysiaGazette