Home Utama Personaliti berintegriti untuk terajui GLC sedang dikenal pasti – Azmin

Personaliti berintegriti untuk terajui GLC sedang dikenal pasti – Azmin

Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mengenal pasti personaliti-personaliti yang mempunyai kebolehan, pengetahuan serta integriti tinggi untuk menerajui syarikat milik kerajaan (GLC).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali berkata, beliau bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengadakan beberapa perbincangan dengan Majlis Penasihat Negara untuk mengenal pasti profesional-profesional berkualiti yang diperlukan di samping mampu mengamalkan standard terbaik di dalam menerajui GLC.

“Saya rasa sudah jelas bahawa kerajaan mahukan kesemua eksekutif ini boleh memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan, bukannya dilantik sebagai ganjaran politik apatah lagi sebagai wakil politik.

“Itu sudah menjadi sejarah dan sekarang kerajaan Pakatan Harapan berulang kali menekankan pelantikan eksekutif-eksekutif ini mestilah boleh memberikan perkhidmatan terbaik kerana kepakaran mereka dan bukannya semata-mata mahukan elaun yang tinggi dan manfaat mewah,”katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pemantauan Ekonomi Malaysia Edisi ke-18 di sini hari ini.

Sebaik mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional, Perdana Menteri telah berulang kali membuat kenyataan berhubung pembersihan lantikan politik sama ada di dalam jabatan kerajaan, agensi mahupun GLC dan GLIC.

Setakat ini beberapa Pengerusi, Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat telah meletakkan jawatan atau tidak disambung kontrak.

Terbaharu, Pengerusi PNB, Tan Sri Abdul Wahid Omar mengumumkan peletakan jawatannya berkuatkuasa Sabtu lalu dan digantikan dengan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz.-MalaysiaGazette