KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia terus mengalami kejatuhan pada minggu kesembilan susulan aliran keluar oleh pelabur asing walaupun pada kadar yang lebih perlahan.
Berdasarkan data awal bursa, jumlah ekuiti yang dilupuskan oleh pelabur asing pada minggu lalu sebanyak RM705.4 juta, menurut MIDF Research.
Pelabur luar pesisir adalah penjual bersih dari hari Isnin hingga Khamis dengan tiada aliran keluar melepasi RM300 juta.
Aliran keluar tertinggi sepanjang minggu lalu ialah pada hari Isnin dengan jumlah RM291 juta susulan pertikaian perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun aktiviti jualan asing perlahan kepada RM206.1 juta pada Khamis lalu, FBM KLCI jatuh ke paras 1,665.68 mata, penutupan terendah sejak Januari 2017 berikutan kemerosotan di Wall Street didorong oleh kenyataan keras penasihat ekonomi Presiden Donald Trump, Larry Kudlow.
Turun naik pasaran berlaku pada hari Jumaat apabila pelabur asing merekodkan aliran keluar mencecah RM259.4 juta.
Aliran masuk bersih asing pada hari Jumaat adalah selaras dengan rakan serantau lain iaitu Filipina, Thailand dan Indonesia.
Sepanjang bulan lalu, jumlah aliran keluar pelabur mencecah RM4.93 bilion, menjadikan aliran keluar kumulatif separuh pertama 2018 kepada RM6.82 bilion, lebih daripada separuh jumlah keseluruhan aliran keluar tahun lalu yang berjumlah RM10.33 bilion.
Meskipun begitu, Malaysia masih pasaran kedua terendah dalam aliran keluar pelabur asing dalam pasaran yang dipantau selepas Filipina berdasarkan tahun ke tahun. – MalaysiaGazette