BANGKOK – Seramai 12 pelajar dan jurulatih bola sepak yang terperangkap dalam sebuah gua sejak sembilan hari lalu ditemui selamat.
Mereka ditemui oleh dua penyelam British di pinggir batuan gua semasa operasi besar-besaran yang dilakukan di Gua Tham Luang di Chiang Rai.
Penemuan mangsa-mangsa itu disahkan oleh Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn kira-kira pukul 10 malam tadi.
Sejurus selepas penemuan mangsa-mangsa, para doktor yang memiliki kepakaran menyelam turut dibawa ke tempat berkenaan.
Semua mangsa perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan memastikan sama ada mereka boleh dibawa keluar dari gua berkenaan dalam keadaan gelap.
Jika keadaan tidak mengizinkan, kesemua mangsa perlu diberi bantuan kecemasan dan memberi mereka makan terlebih dahulu.
Berita itu disambut dengan rasa gembira oleh pasukan penyelamat dan keluarga mangsa-mangsa yang terlibat.
Kesemua mangsa ditemui kira-kira 400 meter di ruang bawah tanah yang dikenali sebagai Pantai Pattaya bagi mengelak air yang naik akibat hujan lebat.
Penyelam British itu mengambil masa beberapa jam untuk mendapatkan mangsa-mangsa.
Osottanakorn juga memaklumkan operasi akan diteruskan sehingga semua mangsa selamat dan dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. – MalaysiaGazette