PUTRAJAYA – Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 9.53 pagi.
Beliau yang memakai baju batik ungu gelap dilihat melambai ke arah para pengamal media dan wartawan yang hadir seawal jam 8 pagi.
Ahmad Zahid akan memberikan keterangan kali kedua hari ini di hadapan para penyiasat berhubung kes berhubung siasatan terhadap Yayasan Akal Budi yang kini disiasat SPRM.
Siasatan dipercayai menjurus kepada siasatan pengurusan dana yayasan itu yang didakwa digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu semalam menghabiskan masa hampir 9 jam bagi memberi keterangan mengenai siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Siasatan itu berhubung kenyataan beliau pada 22 April 2015 mengenai pertemuannya dengan anggota keluarga diraja Arab Saudi yang memberikan derma kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kenyataan itu dibuat Ahmad Zahid pada sesi bersama UMNO Bahagian Sri Gading, Johor pada tahun itu.
Ahmad Zahid adalah bekas pemimpin UMNO ketiga dipanggil SPRM selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas menteri besar Terengganu, Datuk Ahmad Said memberikan keterangan berhubung siasatan terhadap 1MDB. – MalaysiaGazette