PUTRAJAYA – Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu ada pendakwaan yang kuat terhadap kes Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukan hanya untuk memenuhi satu senario yang sengaja dibentuk.
Selain komen tersebut, beliau yang dilihat tidak terkejut dengan penahanan bekas perdana menteri itu hanya tersenyum apabila diasak oleh para wartawan mengenai perkembangan terbaru tersebut.
“Dah tangkap dah? (sambil ketawa). Jam berapa?” Soal beliau sambil dijawab oleh para wartawan pukul 3 petang.
Bekas Pengerusi Felda itu keluar dari perkarangan SPRM jam 4.45 petang selepas tujuh jam memberi keterangan.
Pada Ogos 2015, Sarawak Report melaporkan Najib menyalurkan dana kewangan daripada akaun kepada beberapa pemimpin UMNO termasuk RM1 juta kepada Shahrir.
Bagaimanapun Shahrir pada 17 Ogos 2015 berkata, menerima bantuan daripada Presiden UMNO merangkap perdana menteri untuk mana-mana bahagian adalah perkara biasa, terutamanya sekiranya bahagian tersebut kekurangan dana.
Najib ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini jam 2.35 petang tadi dan dibawa ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sebelum dihadapkan ke mahkamah esok untuk pertuduhan berkaitan SRC. -MalaysiaGazette