PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas lanjut mengenai pertanyaan media berhubung tangkapan bekas bosnya, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang keluar dari perkarangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) buat kali kedua berhubung siasatan terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Yayasan Akal Budi berkata beliau tidak ada maklumat lanjut mengenai kesahihan tindakan SPRM itu.
“Saya tidak mahu komen, saya tidak dapat maklumat,” katanya dalam sidang media di perkarangan ibu pejabat SPRM.
Ahmad Zahid hari ini mengambil masa tujuh jam untuk memberikan keterangan berhubung pengurusan dana yayasan itu yang digunakan untuk membayar kredit kad milik beliau dan isterinya berjumlah RM800,000.
Ketika diasak para pengamal media dan wartawan sama ada beliau terkejut dengan penangkapan itu, Ahmad Zahid hanya berharap agar siasatan dibuat dengan telus semata-mata untuk membersihkan persepsi negatif masyarakat terhadap bekas Presiden UMNO itu.
“Saya hormat undang-undang dan saya sokong kalau ada siasatan dibuat dan bukti dan saksi perlu hadir untuk bersihkan imej dan persepsi masyarakat,” katanya lagi.
Najib ditahan pegawai penyiasat SPRM di kediamannya di Langgak Duta jam 2.35 petang tadi.
Dalam pada itu, Pasukan Petugas Khas 1MDB mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu akan didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur pukul 8.30 pagi esok. -MalaysiaGazette