KUALA LUMPUR – Kelibat Datin Seri Rosmah Mansor yang tidak kelihatan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjadi tanda-tanya pelbagai pihak termasuk pengamal media.
Ini kerana ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berdepan dugaan dalam hidupnya apabila didakwa di mahkamah, sokongan seorang isteri amat diperlukan untuk berada di sisi.
Namun ketiadaan Rosmah, 67, telah mengundang spekulasi, sama ada bekas wanita pertama itu belum bersedia berdepan ratusan pengamal media pada hari ini.
Kali terakhir Rosmah muncul di khalayak apabila memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 5 Jun lalu.
Apa pun Najib, 65, masih mendapat suntikan moral dan semangat apabila dua anaknya, Nooryana Najwa dan Ashaman yang tiba di Mahkamah Sesyen pukul 8.43 pagi, kira-kira 18 minit selepas kemunculan Najib.
Bekas Presiden UMNO itu memasuki kandang tertuduh Mahkamah Sesyen di sini pukul 8.25 lagi dengan kawalan ketat oleh pasukan polis dan pegawai SPRM.
Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan hadir memakai kot berwarna biru gelap kelihatan tenang dan sempat melemparkan ketika berjalan di koridor tingkat empat mahkamah.
Sementara itu, pemimpin-pemimpin UMNO yang hadir di mahkamah adalah Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Noraini Ahmad dan Datuk Asyaraf Wajid serta dibenarkan masuk ke Mahkamah Tinggi Jenayah selepas kes Najib dipindahkan ke sana dari Mahkamah Sesyen.
Pada masa sama, lebih 100 penyokong Najib turut berkumpul memberi sokongan kepada beliau di lobi tingkat lima.
Tengah malam tadi, media melaporkan Rosmah dilihat meninggalkan kediamannya di Jalan Langgak Duta.
Beliau menaiki kenderaan SUV putih dan diekori sebuah lagi kenderaan SUV berwarna hitam.
Difahamkam Rosmah bermalam di rumah Nooryana. – MalaysiaGazette