SHAH ALAM- Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) meminta kerajaan untuk melakukan satu kajian mendalam sebelum membuat sebarang keputusan untuk membuka pasaran di dalam industri tersebut kerana ianya akan memberi impak kepada perkara-perkara lain antaranya kebajikan pesawah, sekuriti makanan negara dan kestabilan bekalan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ismail Mohamed Yusoff berkata, mekanisme Gatekeeping Tunggal yang diperkenalkan sejak 45 tahun lalu tidak pernah gagal walaupun adakalanya syarikat tersebut mencatatkan kerugian.
Malah menurut beliau, Bernas bersedia memberi kerjasama kepada kerajaan bagi menambah baik sistem tersebut.
“Ini bukan mengenai Bernas tetapi apa yang penting adalah kebajikan pesawah, pengguna dan bekalan beras negara.
“Sistem tersebut berjaya untuk kami dan bagi membuat sesuatu model baharu sedangkan sistem ada tidak pernah gagal memerlukan penelitian mendalam dan kajian komprehensif, katanya semasa taklimat media di sini hari ini.
Tegas Ismail, walaupun bertindak sebagai pengimport tunggal, Bernas bukan monopoli industri beras negara.
Tambahnya, selain Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), beliau juga telah membuat pembentangan kepada Menteri Pertanian, Salahuddin Ayub sendiri.
Bagaimanapun, setakat ini, Ismail masih belum dipanggil oleh jawatankuasa khas yang ditubuhkan kerajaan untuk melihat isu tersebut.
Baru-baru ini kerajaan telah menubuhkan satu pasukan petugas khas dan sebuah jawatankuasa untuk mengkaki model baharu bagi menggantikan peranan Bernas selaku pengimport tunggal menerusi Mekanisme Gatekeeping Tunggal.
Tambah Ismail, perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh Bernas sejak 2011 hanya akan berakhir pada 2021 dan sepanjang tempoh tersebut, syarikat berkenaan tertakluk kepada terma yang telah dipersetujui termasuklah berhubung Mekanisme Gatekeeping Tunggal.
Mekanisme Gatekeeping Tunggal merangkumi kebenaran untuk Bernas menjadi pengimport tunggal, mewajibkan Bernas menjadi Pembeli Pilihan Terakhir (buyer of last resort) sekiranya pengilang lain enggan membeli hasil pada pesawah, menjadi penyimpan stok beras negara, melindungi pesawah melalui skim subsidi padi, menyediakan sokongan dan jaminan kepada pengilang bumiputera dan mengawal mutu beras.-MalaysiaGazette