KUALA LUMPUR – Insiden sidang media terganggu berikutan tindakan beberapa pihak mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas menggunakan Bahasa Melayu disifatkan tidak matang.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) PPBM, Syed Saddiq Abdul Rahman menganggap insiden itu tidak sepatutnya berlaku terutama ketika hampir kesleuruhan perhatian rakyat di negara ini tertumpu terhadap kes pendakwaan ke atas Datuk Seri Najib Razak.
Syed Saddiq yang juga merupakan Menteri Belia dan Sukan itu kecewa kerana tindakan tersebut sengaja dilakukan ketika prosiding mahkamah dengan bermotifkan sesuatu agenda.
“Apa yang tidak kena dengan kumpulan ini? Bukankah mereka tahu ini adalah sebuah kes yang penting. Mengapa perlu berkelakuan sedemikian rupa?
“Saya percaya dalam hal ini, desakan tersebut hanya bertujuan ingin mengganggu prosiding mahkamah sebab saya yakin jutaan rakyat negara ini lebih prihatin mengenai simpanan dan aset yang dicuri.
“Mungkin mereka tidak puas hati sehingga sengaja mahu alihkan pandangan dan bercakap tentang Bahasa Melayu terhadap sidang media oleh Tommy. Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Minggu Media Sosial (MSMW) 2018 di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Syed Saddiq mengulas mengenai tindakan Tommy yang terpaksa menukar tempat sidang media ekoran kekecohan sekumpulan pihak yang memintanya bercakap dalam bahasa Melayu semasa sidang media.
Penyokong Najib mula melaungkan sorakan ‘Guna Bahasa Melayu’ ketika Tommy mahu bercakap dengan pihak media berhubung kes tersebut.
Terdahulu, ketika proses mahkamah berlangsung, Tommy turut meminta izin mahkamah supaya proses pendakwaan itu dilakukan dalam Bahasa Inggeris namun mendapat bantahan pelbagai pihak. – MalaysiaGazette