Home Politik UMNO teliti 30 akujanji calon presiden – Ahmad Zahid

UMNO teliti 30 akujanji calon presiden – Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO yang baru dilantik Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu akan meneliti semua akujanji yang dijanjikan oleh dua lagi calon Presiden pada pemilihan yang berlangsung 30 Jun lalu.

Katanya, perkara itu termasuk dalam perbincangan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang dipengerusikan kali pertama oleh beliau hari ini.

“Saya sendiri ada 15 perkara yang akan dilaksanakan sekiranya saya menang, manakala Khairy Jamaluddin sebanyak lapan manifesto dan Tengku Razaleigh sebanyak tujuh manifesto. Jadi keseluruhan 30 akujanji ketiga-tiga tokoh ini akan diteliti dan diperincikan.

“Untuk itu, Majlis Tertinggi telah melantik Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mewujudkan satu badan bertindak bagi melihat pelaksanaan kesemua atau sebahagian akujanji berkenaan,” ketika dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi di Menara Dato’ Onn hari ini.

Malah katanya, UMNO telah menerima keutamaan kepada kesemua akujanji tersebut dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat dan jangka panjang.

Dalam pada itu, UMNO turut memutuskan untuk tidak melantik kembali Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Saya akan mengadakan perundingan dengan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden bagi jawatan-jawatan berkenaan kerana kita mahu mempunyai beberapa pendekatan untuk menilai personaliti dan tokoh-tokoh yang kita lantik.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Tengku AdnanĀ  yang telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang sebagai Setiausaha Agung. Begitu juga kepada Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Setiausaha Kerja UMNO Malaysia,” katanya lagi. -MalaysiaGazette