KUALA LUMPUR – Dewan Media Sosial Malaysia yang menganjurkan Minggu Media Sosial Malaysia 2018 (MSMW) buat kali ketujuh sentiasa peka dan komited mendidik rakyat negara ini tentang kepentingan arus teknologi maklumat yang semakin canggih.
Malah, kepesatan teknologi media sosial sebenarnya banyak membawa kebaikan kepada penggunaannya tetapi kesedaran serta pendidikan tentang dunia ini perlu sentiasa dititikberatkan bagi memastikan ianya sentiasa seimbang dan tidak menular ke arah negatif.
Naib Presiden Dewan Media Sosial Malaysia, Nather Mohammed berkata, pihaknya tidak akan sesekali bersetuju seandainya kebebasan media sosial disekat apabila maklumat disalurkan tanpa had dan sempadan sehingga menyebabkan ancaman.
Sebaliknya, menurut beliau, kebebasan media sosial yang selama ini sentiasa menjadi laungan kerajaan Pakatan Rakyat itu sendiri menjadi realiti kerana adanya platform ini sehingga membawa kejayaan luar biasa pada Pilihan Raya Umum (PRU-14).
“Sebenarnya, pernah juga segelintir pihak apabila berlakunya sesuatu yang drastik akan mencadangkan supaya menutup atau mengehadkan penggunaan media sosial seperti Facebook, Twitter atau Instagram. Ini bukan sahaja tidak demokratik, tidak menghormati kebebasan bersuara atau menyalurkan maklumat malah sangat merugikan.
“Media sosial memainkan peranan penting dalam industri antarabangsa, perniagaan, pendidikan, sektor korporat, swasta dan kerajaan. Kita tidak sepatutnya mengikut jejak negara yang menyekat penggunaan media sosial. Corak pentadbiran dan sistem Perlembagaan negara berkenaan jauh berbeza dengan Malaysia.
“Sebaliknya, cadangan untuk pengguna mendaftar di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah untuk mengenal pasti individu bertanggungjawab ke atas penyiaran dan penyebaran bahan berunsur hasutan di internet terutamanya apabila terlalu banyak akuan palsu
“Selain daripada itu, yang paling penting dan sentiasa dilaksanakan oleh Dewan Media Sosial sendiri adalah memberi keutamaan dalam mendidik pengguna itu sendiri tentang baik dan buruk tentang media sosial. Antaranya dengan penganjuran MSMW setiap tahun. Kita beri didikan serta pengetahuan tentang kepentingan media sosial kepada pengguna dan sentiasa komited tentangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika ditemubual pada hari kedua penganjuran MSMW 2018 di Pusat Dagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Seramai 30 penceramah dari dalam dan luar negara ditampilkan menerusi MSMW 2015 antaranya dari India, Singapura, Filipina, Australia, Arab Saudi, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia dengan penyertaan 290 peserta untuk program tiga hari berakhir esok.
Portal MalaysiaGazette merupakan Rakan Media Dalam Talian untuk MSMW 2018 yang berlangsung selama tiga hari itu.
Nather atau lebih mesra dengan panggilan Ned menambah, apa yang perlu ialah untuk terus mendidik pengguna mengenai adab menggunakan laman sosial.
“Terlalu banyak kebaikan sebenarnya penggunaan alam maya ini, tetapi pada masa yang sama kita tidak menolak tentang wujudnya siber buli yang juga berleluasa tetutamanya pihak-pihak tidak bertanggungjawab menggunakan akaun palsu menyebarkan fitnah atau tohmahan secara bebas.
“Mengikut kajian, lebih ramai yang malas untuk berfikir dan mudah mempercayai apa yang dikirim oleh rakan mereka sebagai sahih. Oleh itu, media sosial bertukar menjadi satu wahana yang efektif untuk menyebarkan khabar angin dan fitnah mengatasi surat layang.
“Kita perlu didik golongan ini, kerajaan juga mencari alternatif mewujudkan akta yang sesuai yang menangani perkara seperti ini, bagaimanapun wujud juga kebimbangan pengguna internet ialah sekatan dan penguatkuasaan undang-undang ke atas media sosial akan menjadi ancaman kepada pengguna media sosial,” ujarnya. – Malaysia Gazette
Baca selanjutnya mengenai MSMW 2018:
MSMW 2018 banyak beri manfaat berguna
Media sosial antara faktor PH menang besar
Impak lebih besar melalui MSMW 2018