KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 ke 18 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, tempoh empat ke lima tahun yang ada ini memerlukan penerapan pendidikan politik pada usia awal.
Jelas beliau, ini bagi membolehkan golongan itu mengambil kisah tentang pembangunan negara dan mereka sedar bahawa undi adalah mustahak dan setiap undi akan merencana masa depan mereka dan anak cucu.
“Kita masih ada masa dalam tempoh lima tahun ke PRU15 kerana ada waktu untuk mengajar dan memastikan bahawa kursus, kelas dan pendidikan politik akan dimulakan pada masa ini.
“Saya tidak boleh bentang semua sekarang namun saya beri contoh seperti Parlimen Belia sedia ada yang perlu diperkuatkan dan diperkasakan.
“Bukan sahaja fokus di atas umur 21 tahun kerana majoriti umur mereka adalah 21 tahun. Bagi saya kalau anda berumur 21 tahun ke atas, kamu tidak perlu ke Parlimen Belia tapi ke Parlimen Malaysia
“Tapi kita hendak umur antara 16 hngga 21 tahun di mana salah satu cara sekolah boleh terlibat dalam sesi dialog dan debat isu semasa serta mesti dilakukan dari sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas perasmian French Tech Malaysia di French Residence di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Tenaga, Teknologi Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin dan Duta Besar Perancis ke Malaysia, Frederic Laplanche.
Syed Saddiq menambah, negara maju lain seperti Perancis, United Kingdom, Thailand dan Indonesia dibenarkan mengundi seawal umur 17 dan 18 tahun sejak tahun 1960.
Soal beliau, kenapa di Malaysia masih ada yang mengatakan anak muda ini adalah golongan ‘raver’ dan wechat.
“Memang ada segelintir tetapi kalau tidak ambil inisiatif dan proaktif serta tidak berani buat sekarang, sampai bila dan negara lain sudah buat berpuluh-puluh tahun.
“Kenapa ia penting turunkan had umur kerana semua parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sistem pendidikan akan mendapat insentif agak besar untuk memastikan anak muda celik isu semasa.
“Sekarang ini sebagai contoh bagi parti politik, saya hendak dedahkan pada isu politik pada usia 16 tahun walaupun mereka bukan boleh mengundi.
“Namun pendidikan politik bukan teruk kerana kita akan ajar tentang demokrasi, perlembagaan persekutuan dan proses pengundian sedia ada untuk membina negara tercinta,” katanya. – MalaysiaGazette