Home Politik Pemuda UMNO lantik 4 Pegawai Tertinggi Jawatankuasa

Pemuda UMNO lantik 4 Pegawai Tertinggi Jawatankuasa

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO hari ini melantik empat Pegawai Tertinggi Jawatankuasa pergerakan itu dengan Johari Yazid dilantik sebagai Penolong Setiausaha.

Khairul Firdaus Akbar Khan dilantik sebagai Penolong Bendahari, jawatan Ketua Penerangan dipertanggungjawabkan kepada Mohd Shahar Abdullah manakala jawatan Setiausaha Kerja dipegang Ahmad Zaim Ahmad Tawfek.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pelantikan itu dibuat selaras dengan peruntukan Fasal 5.5 Perlembagaan parti.

Kata beliau, Pemuda komited untuk melakukan transformasi dan juga pembaharuan demi mengembalikan kekuatan UMNO sebagai parti tunjang orang Melayu dan Islam.

“Masih ramai ahli UMNO yang sayangkan parti serta mahu ia bangkit kembali untuk terus kekal relevan dalam pentas politik tanah air demi perjuangan memartabatkan Islam, bangsa dan tanah air,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, katanya Agenda 5P (Pengkaderan, Pentarbiyahan, Pembudayaan Ilmu, Pemerkasaan Rohani, Pemantapan Jati Diri) yang beliau tekankan dalam manifesto akan menjadi keutamaan dalam usaha pengislahan dan transformasi Pemuda. – MalaysiaGazette