KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat lawatan ke kediaman bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak di Langgak Duta, Kuala Lumpur malam tadi sebagai tanda solidariti.
Ahmad Zahid melawat bekas bosnya itu beberapa jam selepas Najib selesai didakwa di mahkamah.
Kenderaan Ahmad Zahid dilihat memasuki Langgak Duta sekitar jam 7.15 malam dengan menaiki Toyota Vellfire bewarna hitam SAM 38.
Ahmad Zahid juga sempat meluangkan masa menjadi imam solat Maghrib bersama.
Sebelum itu, kediaman Najib turut dikunjungi beberapa pemimpin UMNO antaranya Datuk Dr. Noraini Ahmad, Datuk Seri Hassan Ariffin, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abd Rashid Shirlin.
Najib diikat jamin RM1 juta untuk semua empat pertuduhan yang dihadapi beliau di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Pekan itu mengaku tidak bersalah dan memohon perbicaraan atas empat pertuduhan yang dibacakan terhadapnya semalam.
Beliau dituduh pecah amanah berkaitan dana bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd (SRC). -MalaysiaGazette