PUTRAJAYA- Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini memutuskan untuk mengekalkan PKR sebagai parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak lama lagi.
Menurut Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad gabungan itu menyerahkan sepenuhnya kepada PKR untuk menentukan calon yang akan mewakili PH.
“Seorang daripada wakil rakyat kita meninggal bagi DUN Sungai Kandis dan kita akan buat persiapan bahawa calon PH yang akan datang akan datang dari parti PKR.
“Sehingga kini kita belum membuat senarai pendek calon,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Malah gabungan itu turut bersetuju untuk menggunakan logo PKR dan tidak akan menggunakan lambang PH untuk mewakili gabungan itu.
Sebelum ini, PH juga menggunakan lambang PKR sebagai lambang gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Dalam sidang media sama, Setiausaha Agong PKR, Datuk Saifuddin Nasation turut memaklumkan pimpinan pusat PKR belum memuktamadkan calon dan masih menunggu senarai akhir dari pimpinan Selangor.
“Saya telah maklumkan PKR Selangor untuk angkat nama-nama. Setakat ini tak terima lagi. Selepas terima, pimpinan pusat akan muktamad dan dapatkan permission PH,”katanya.
Mat Shuhaimi Shafie, 50, yang juga bekas setiausaha politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Subang Jaya kira-kira 11.10 pagi Isnin lepas akibat kanser limfoma.
Pada 9 Mei lalu, Shuhaimi yang mewakili PKR mempertahankan kerusi DUN Sungai Kandis (dahulu Sri Muda) untuk penggal ke-3 berturut-turut dengan majoriti 12,480 undi dalam pertandingan 4 penjuru menentang calon BN, PAS dan PRM. – MalaysiaGazette