Home Politik Isu LGBT, jangan beri mesej salah

Isu LGBT, jangan beri mesej salah

Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – “Harap menteri agama tidak memberikan mesej yang salah kepada rakyat,” kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau memberi respon kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid Yusof berhubung isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) serta Seksyen 25 Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah berhubung liwat.

Menurutnya, mengikut Seksyen 25, mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

“Setahu saya liwat adalah kesalahan jenayah dalam undang-undang jenayah syariah di negeri-negeri,” katanya ringkas dalam posting yang dimuatnaik dalam akaun Facebooknya hari ini.

Hari ini, Mujahid ketika dalam wawancara dengan portal Malaysiakini, mengulas isu LGBT dengan menyatakan setiap warganegara mempunyai hak mereka dan kerajaan tidak akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya golongan itu tidak melakukan jenayah.

Jelas Ahli Parlimen Parit Buntar itu, walaupun perbuatan golongan LGBT itu berdosa, namun sekiranya ia tidak mencabar undang-undang negara, pihaknya tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tindakan.

“Perbuatan LGBT haram. Kalau buat sembunyi-sembunyi pun tetap haram, tetapi itu antara dia dan Allah. Allah akan membalas di atas perbuatan mereka. Tetapi kalau mereka secara terang-terangan beritahu dan kata seronok dengan perbuatan itu, kita boleh ambil tindakan,” kata Mujahid yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN). – MalaysiaGazette