Home Ekonomi Khazanah diminta kembali pada teras

Khazanah diminta kembali pada teras

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 JULAI 2018.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 06 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meminta sayap pelaburan negara, Khazanah Nasional Bhd. kembali kepada teras penubuhannya selepas dilihat sudah tersasar dari matlamat untuk membantu bumiputera.

Tegas Perdana Menteri, Khazanah Nasional ditubuhkan pada asalnya untuk membeli saham yang diperuntukkan untuk kaum bumiputera yang lazimnya akan membeli saham dan menjualnya serta-merta kepada orang lain.

“Jadi, untuk menghentikan mereka daripada berbuat demikian, kami wujudkan Khazanah. Namun sekarang Khazanah dilihat mengambil kesemua saham, sama ada ia diperuntukan untuk bumiputera atau tidak.”

“Oleh itu, mungkin mereka boleh kembali kepada tujuan asal,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Putrajaya, yang disiarkan secara langsung.

Khazanah Nasional diperbadankan pada 1993 ketika Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat dan beliau dilantik sebagai pengerusi pertama.

Ia ditubuhkan untuk mengurus aset komersial milik kerajaan pusat selain merancang pelaburan strategik yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Namun begitu menurut Perdana Menteri, entiti tersebut sudah semakin jauh dari matlamat penubuhan asalnya dengan melakukan pelbagai perniagaan “pelik”.

“(Tapi), agak jelas (sekarang) mereka melakukan pelbagai perkara yang pelik, mereka membeli rumah, mereka mengambil alih syarikat (yang bukan tujuan penubuhan asal Khazanah),” katanya ketika ditanya mengenai kenyataan beliau baru-baru ini bahawa dana itu telah menyimpang daripada tujuan terasnya, jelasnya.

Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri keempat pada 2003.

Pada 2004, di bawah mandat baharu, Khazanah melaksanakan pendekatan pelaburan lebih meluas dan lebih aktif, termasuk meningkatkan prestasi pegangan teras sedia ada dan pada masa sama mengenal pasti peluang dalam sektor ekonomi dan geografi baharu. – MalaysiaGazette