Home Ekonomi MISC peroleh kontrak RM1.78 bilion

MISC peroleh kontrak RM1.78 bilion

MISC
MISC Bhd.

KUALA LUMPUR- MISC Bhd. berjaya memperolehi kontrak sewa khas bernilai AS$441 juta (RM1.78 bilion) bagi tempoh 16 tahun yang akan dimulakan selewat-lewatnya 1 September ini.

Dalam kenyataan di Bursa Malaysia hari ini, MISC berkata, ia telah menandatangani kontrak sewa khas jangka panjang dengan Hess Exploration dan Production Malaysia BV (HESS) bagi pajakan kemudahan penyimpanan dan pemindahan terapung (FSO) yang dikenali sebagai FSO Mekar Bergading, secara kapal kosong.

Sewa khas kapal kosong merujuk kepada pajakan keseluruhan kapal yang mana pemajak hanya menyediakan kapal sahaja manakala operasinya dikendalikan oleh penyewa.

Hess, sebuah syarikat yang ditubuhkan di Belanda merupakan syarikat tenaga bebas global yang terlibat dalam eksplorasi dan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.

MISC berkata, kontrak itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham terbitan dan berbayar serta pegangan saham yang besar.

Kontrak itu juga tidak akan memberi impak yang ketara kepada pendapatan sesaham, tahap kadar hutang dan aset bersih sesaham MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Antara faktor risiko yang boleh menjejaskan kontrak termasuk perubahan dalam ekonomi, politik dan persekitaran kawal selia yang akan diambil langkah sewajarnya oleh MISC.

Tiada mana-mana Pengarah atau pemegang saham utama MISC atau individu berkaitan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan. – MalaysiaGazette