KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan saman terhadap tiga penyiasat utama skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam tiga fail sivil yang dilihat Reuters, peguam Najib mendakwa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Amar Singh dan Peguam Negara Tommy Thomas bersikap prejudis terhadap bekas Perdana Menteri ketika melakukan siasatan mereka.
Peguamnya, Badrul Abdullah berkata, permohonan itu berdasarkan beberapa kenyataan lalu yang dibuat oleh tiga individu berkenaan.
“Kami mahu mendapatkan keputusan mahkamah, sama ada terdapat unsur konflik kepentingan dalam kalangan individu yang mengendalikan kes itu,” kata Badrul kepada Reuters.
Badrul berkata, anak guamnya menuntut ganti rugi kos dan arahan serta ganti rugi lain lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.
Rekod mahkamah menunjukkan tiga permohonan itu telah difailkan pada 30 Jun lalu dan menamakan Najib sebagai pemohon.
Peguam Najib dan responden-responden dijadual bertemu dengan dua hakim untuk pendengaran pra perbicaraan secara berasingan pada 16 Julai.
Pada bulan Mei, Shukri mendakwa beliau mengalami tekanan semasa menyiasat 1MDB pada tahun 2015.
Sementara Amar pula mengetuai siasatan rampasan pelbagai barangan bernilai hampir AS$275 juta dari beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib.
Thomas pula adalah pendakwa utama kes membabitkan Najib yang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa, yang berkaitan pemindahan wang sejumlah RM42 juta dari akaun SRC ke akaun bekas perdana menteri itu. – MalaysiaGazette