Home Nasional NGO mahu kes Najib dibicarakan segera

NGO mahu kes Najib dibicarakan segera

Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berucap ketika membuat demonstrasi aman berkaitan pembekuan akaun milk keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdekatan pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.
Pengerusi Pemantau Kerajaan Malaysia Baharu (Pemantau), Datuk Lokman Noor Adam berucap ketika membuat demonstrasi aman berkaitan pembekuan akaun milk keluarga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdekatan pusat beli belah, Sogo di Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pemantau Malaysia Baharu (Pemantau) mendesak kerajaan dan mahkamah supaya membicarakan kes pertuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak seberapa segera yang mungkin.

Presidennya, Datuk Lokman Noor Adam berkata, mahkamah tidak perlu melambatkan proses perbicaraan kes ke atas bekas Perdana Menteri itu.

Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi pertuduhan pecah amanah dan menyalah gunakan kuasa sebagai penjawat awam membabitkan dana RM42 juta daripada anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn. Bhd.

“Kita minta supaya kerajaan dan mahkamah membicarakan Najib seberapa segera yang mungkin dan tidak perlu dilambatkan.

“Ini merupakan kes melibatkan kepentingan awam dan perlu diberi keutamaan.

“Kalau benar dan pasti Najib melakukan kesalahan bicarakan dia segera, tak perlu tunggu sehingga Februari dan Mac 2019,” katanya semasa berhimpun di hadapan Pusat membeli belah, Sogo di Jalan Tun Abdul Rahman malam ini.

Lebih 40 orang penyokong Najib yang mendakwa dirinya mewakili dua pertubuhan iaitu Pergerakan Sivil dan Hak Asasi Manusia Malaysia (CHaRM) dan Pemantau Malaysia Baharu berkumpul menyatakan sokongan kepada bekas Presiden UMNO itu.

Mereka mendukung plakad yang tertera perkataan ‘Mana kasut Adam, Kamu menang kerana fitnah’ yang merujuk kepada kerajaan Pakatan Harapan dengan jeritan ‘Bebaskan Najib’, ‘Hidup rakyat hancur Mahathir’.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menjelaskan Najib bukan individu seperti Anwar Ibrahim yang berniat sengaja mahu menangguhkan kes perbicaraannya.

“Saya yakin jika mahkamah berlaku adil kepada Najib, sudah pasti beliau tidak akan ke penjara nanti,” katanya.- MalaysiaGazette