Home Nasional Riza enggan ‘layan’ media selepas 9 jam disoal siasat

Riza enggan ‘layan’ media selepas 9 jam disoal siasat

Kereta Audi yang membawa Riza Aziz meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.
Kereta Audi yang membawa Riza Aziz meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya.

PUTRAJAYA – Anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Riza Aziz enggan melayan pertanyaan media selepas hampir sembilan jam disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.

Riza selaku produser filem Hollywood dipanggil buat kali keempat untuk membantu siasatan berkaitan penyalahgunaan dana syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengasas bersama syarikat pembikinan filem, Red Granite Pictures itu pernah dikaitkan kes 1MDB kerana didakwa menggunakan wang milik syarikat berkenaan untuk menerbitkan sebuah filem.

Terdahulu Riza, 48, tiba di ibu pejabat SPRM dengan menaiki kereta Audi berwarna hitam memasuki pintu utama agensi itu pada pukul 9.45 pagi.

Bagaimanapun beliau meninggalkan ibu pejabat SPRM pada pukul 7.35 malam dengan ditemani peguamnya, Datuk K. Kumaraendran.

SPRM sebelum ini telah merekodkan keterangan Riza sebanyak tiga kali pada 3, 4 dan 5 Julai, masing-masing mengambil masa antara sembilan, enam dan tujuh jam. – MalaysiaGazette