KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan beliau memanggil mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada malam 9 Mei, di saat keputusan PRU ke-14 jelas menunjukkan kekalahan BN.
“Saya seorang demokrat. Saya percaya kepada kehendak rakyat. Mereka tuduh saya panggil mesyuarat MKN (tapi) ia tidak berlaku.
“Anda boleh tanya semua anggota (MKN),” kata bekas perdana menteri itu dalam wawancara bersama Malaysiakini minggu lalu.
Menjelang PRU ke-14, Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad berulangkali mendakwa Najib tidak akan menyerahkan kuasa dan mungkin menguatkuasakan Akta Majlis Keselamatan Negara kerana bimbang akan ditahan.
Dalam wawancara bersama Reuters, Mahathir yang kini perdana menteri berkata beliau terkejut kerana menang PRU ke-14 kerana Najib tahu “beliau mungkin akan dipenjara jika kalah”.
“Saya fikir dia ada muslihat tertentu,” katanya.
Pada 4 Julai lalu, Mahathir mengucapkan terima kasih kepada BN atas peralihan kuasa yang aman.
Najib berkata beliau tiada “plan B” dan tidak mahu negara dalam keadaan darurat.
“Saya tidak mahu pertumpahan darah berlaku,” katanya, menegaskan beliau tidak berkompromi dalam soal itu.
Beliau tahu kerajaan HARAPAN “tiada pilihan politik selain menekannya”.
Bagaimanapun beliau yakin dirinya tidak membuat sebarang salah laku dan bersedia membersihkan namanya.
Beliau juga berkongsi perasaannya ketika keputusan PRU mula dikeluarkan.
“Saya fikir kami dalam keadaan terkejut dan semua orang menjadi sangat terganggu.
“Tetapi kami menenangkan diri dan memutuskan kami perlu menerima kehendak rakyat,” katanya lagi.
Perbualan telefon dengan Anwar
Sebelum ini, Ketua Umum HARAPAN Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Najib menghubunginya pada malam bersejarah itu.
Ketika ditanya, Najib bagaimanapun enggan mendedahkan isi perbincangan mereka dan berkata ia adalah perbualan peribadi.
“Dari satu sisi, dia (Anwar) ada terhutang budi kerana saya melayannya dengan baik ketika dia menjalani hukuman.
“Di peringkat akhir hukumannya, saya benarkan dia tinggal di hospital rehabilitasi yang sangat selesa.
“Dalam konteks itulah kami bertukar pandangan tentang pilihan raya…Perbualan itu sebaiknya ditinggalkan sebagai (hal) peribadi,” katanya lagi.
Menjawab soalan lain, Najib menjelaskan sebabnya tidak memberikan ucapan pada malam pilihan raya, sebaliknya memilih untuk berbuat demikian pagi keesokannya.
“Anda perlu beri saya masa untuk pulih.
“Tidak mudah untuk berjumpa wartawan pada malam yang sama, saya perlu menenangkan diri dan dapatkan keputusan akhir.”
Ketika Malaysiakini membangkitkan kenyataannya berhubung Yang di-Pertuan Agong akan memutuskan parti yang mendapat majoriti yang kedengaran seperti bukan ucapan penyerahan kalah, Najib berkata kenyataan itu secara teknikalnya betul.
“Esoknya, secara teknikalnya ia ucapan yang betul.
“Saya dapat rasa Agong akan membuat keputusan yang terbaik untuk negara, dan Tuanku melakukannya: Tuanku setuju untuk HARAPAN membentuk kerajaan.
“Tidak apa bagi kami. Mengikut perlembagaan, Agong berhak untuk buat keputusan,” katanya.
Ditanya jika ada pihak yang memintanya tidak menyerah kalah, Najib berkata tiada permintaan seperti itu dan jika ada, beliau tidak akan bersetuju dengannya. – MalaysiaGazette