GEORGE TOWN – Seorang saksi memberitahu Mahkamah Koroner hari ini bahawa pelajar tingkatan dua M. Vasanthapiriya akhirnya mengaku mengambil telefon bimbit milik seorang guru R. Raymala selepas ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kepadanya.
Guru Disiplin Sekolah Menengah Kebangsaan Methodist Nibong Tebal, Abu Salman Abdul Aziz, 35, berkata pengakuan tersebut dibuat oleh murid itu selepas berjam-jam disoal berhubung kecurian terbabit.
“Pada mulanya Vasanthapiriya tidak mengaku. Berkali-kali ditanya dia juga tidak mengaku mengambil telefon bimbit cikgu Raymala. Namun selepas cikgu Paramasivam menunjukkan video rakaman CCTV dalam telefon saya yang memaparkan kelibatnya masuk ke dalam pejabat dan mengambil telefon itu, terus dia mengaku,” katanya.
Rakaman CCTV itu turut ditayangkan di mahkamah pada prosiding inkues hari ini.
Abu Salman berkata beliau sebenarnya berhasrat mahu menunjukkan rakaman itu kepada ibu bapa pelajar berkenaan terlebih dahulu pada keesokannya namun cikgu Paramasivam telah terlebih dahulu menunjukkan rakaman itu.
Abu Salman, saksi kesembilan prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan dua itu yang meninggal dunia selepas menggantung diri, dipercayai kerana malu akibat dituduh mencuri telefon pintar seorang guru, merupakan satu-satunya guru yang diberi hak mengakses segala rakaman ke telefon bimbitnya.
Sementara itu saksi ke-10 inkues S.Yogamalar yang juga rakan baik Vasanthapiriya berkata cikgu Raymala dan suaminya serta bapa Vasanthapiriya ada datang ke rumahnya untuk bertanyakan perihal telefon berkenaan.
“Semasa mereka datang ke rumah, bapa Vasanthapiriya ada bertanyakan saya adakah Vasanthapiriya beri telefon cikgu Raymala kepada saya dan saya menjawab tidak,.Kemudiannya cikgu dan suaminya serta bapa Vasanthapiriya pulang,” katanya.
Yogamalar yang mengenali Vasanthapiriya sejak darjah empat berkata dia kemudiannya pergi ke rumah Vasanthapiriya bersama bapanya dengan tujuan untuk membersikan namanya yang turut terpalit dengan insiden kecurian itu.
“Bagaimanapun semasa tiba di rumah Vasanthapiriya pada jam 8.30 malam, 24 Jan lalu, kawan saya sudah dibawa ke hospital,” katanya.
Inkues yang didengar di hadapan Koroner Norsalha Hamzah bersambung 20 Julai ini. Inkues dibantu pegawai pengendali yang juga Pengarah Pendakwaan Negeri, Yusaini Amier Abdul Karim dan J.G. Kameni.
Vasanthapiriya meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Seberang Jaya pada 3.35 pagi, 1 Feb lalu selepas tidak sedarkan diri akibat menggantung diri di rumahnya.
— BERNAMA