CHIANG RAI- Masanya sudah semakin suntuk untuk membawa 12 kanak-kanak pasukan bola sepak dan jurulatih mereka untuk keluar dari sebuah gua selepas terperangkap di dalamnya selama dua minggu.
Bekas Gabenor Chiang Rai yang juga ketua misi menyelamat, Narongsak Osottanakorn, mangsa perlu dibawa keluar sebelum hujan lebat turun dan menyukarkan lagi operasi.
Satu pasukan SEALS Tentera Laut Thailand, askar, polis dan sukarelawan bekerja 24 jam untuk cuba menyelamat dan mengeringkan gua yang telah ditenggelami banjir itu.
Kanak-kanak berusia di antara 11 dan 16 tahun itu kebanyakannya tidak tahu berenang apatah lagi menyelam skuba terpaksa diajar dengan pantas cara-cara menyelam di dalam laluan yang sempit dan berselut untuk keluar dari gua berkenaan.
“Masalah yang paling dibimbangi adalah apabila hujan turun lagi. Masa semakin suntuk,” katanya sehari selepas seorang penyelam berpengalaman meninggal dunia selepas menghantar tangki oksigen di dalam misi berkenaan.
Antara alternatif penyelamatan lain termasuklah menyediakan bekalan udara melalui saluran oksigen untuk memastikan kanak-kanak tersebut hidup di dalam gua tersebut sehingga musim tengkujuh di Thailand berakhir atau menggerudi lubang ke dalam gua tersebut dari dalam hutan.
Menurut Narongsak, mereka mungkin terpaksa menggerusi gua batu kapur itu sehingga kedalaman 600 meter sebelum sampai kepada kanak-kanak berkenaan.
Setakat ini, mereka sedang berbincang mengenai sudut kawasan penggerudian.
Dalam pada itu, seorang jurulatih selaman berbangsa Denmark, Ivan Katadzic yang bertugas membawa tangki oksigen ke dalam gua tersebut berkata, selepas melakukan selaman pada petang Jumaat, beliau mendapati ada sinar pada misi tersebut apabila paras air di dalam gua jatuh mendadak.
Bagaimanapun, Katadzic tidak menyelam di kawasan satu kilometer terakhir di mana kanak-kanak tersebut terperangkap, iaitu kawasan paling bahaya untuk penyelam yang mana para penyelamat perlu memegang tangki oksigen masing-masing di bahagian hadapan badan bagi meloloskan diri untuk melalui sebuah lubang yang telah ditenggelami air.
Satu lagi pasukan di atas bukit pula sedang cuba menutup lubang dan mengalihkan aliran air ke tempat lain bagi menghalang ianya memasuki gua berkenaan apabila hujan lebat turun.
“Semuanya berlumba dengan masa,” seorang pegawai di hutan simpan tersebut, Kamolchai Kotcha.
Jelasnya, pasukan beliau sedang berusaha siang dan malam untuk cuba menghabiskan kerja masing-masing sebelum hujan.-MalaysiaGazette