Home Ekonomi Bursa diramal rendah

Bursa diramal rendah

Bursa Malaysia
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan sejajar dengan prestasi pasaran saham global berikutan pelabur terus berhati-hati mengenai ketegangan perdagangan AS-China yang semakin meningkat.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ketegangan perdagangan antara dua ekonomi terbesar dunia itu semakin serius dan boleh menyebabkan pusingan kedua perang tarif bernilai US$50 bilion pada bila-bila masa.

“Kami menjangka pasaran rendah dengan sokongan pada 1,660 manakala halangan pada 1,700,” katanya kepada Bernama.

Pusingan pertama penguatkuasaan tarif AS ke atas import China bernilai US$34 bilion bermula semalam dan Beijing memberi respons dengan mengenakan kadar tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan AS, bersamaan dengan kadar Washington ke atas import China.

Di peringkat tempatan, Nazri Khan berkata, asas dan data teknikal pasaran saham kekal lemah dengan banyak berita yang keluar tidak menggalakkan pelabur asing datang.

“Terdapat banyak cerita (yang) keluar yang kita tidak pernah dengar sebelum ini dan banyak lagi. Sebahagiannya mengejutkan pelabur,” katanya.

Beliau berkata aliran keluar asing berterusan pada minggu ini selepas wujud perubahan pada minggu lepas berikutan pelabur asing terus mengambil pendekatan berhati-hati.

“Tiada petunjuk dana asing akan mengukuh,” katanya.

Bagi minggu baru berakhir, bursa tempatan diniagakan kebanyakannya rendah, menjejaki bursa serantau, berikutan sentimen berhati-hati susulan ketegangan perdagangan global.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI susut 27.65 mata kepada 1,663.86 daripada 1,691.5 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas jatuh 161.94 mata kepada 11,798.99 dan Indeks FBMT100 susut 162.69 mata kepada 11,595.24.

FBM 70 merosot 92.35 mata kepada 14,534.71 dan Indeks FBM Emas Shariah turun 129.25 mata kepada 121,963.3.

FBM Ace naik 106.65 mata kepada 5,234.18.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 309.01 mata kepada 16,340.9, Indeks Perladangan jatuh 112.78 mata kepada 7,421.38 dan Indeks Perusahaan berkurangan 39.91 mata kepada 3,087.62.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 10.05 bilion unit bernilai RM8.36 bilion daripada 9.70 bilion unit bernilai RM10.52 bilion sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 5.99 bilion saham bernilai RM7.01 bilion daripada 5.90 bilion saham bernilai RM9.53 bilion.

Jumlah dagangan waran susut kepada 2.64 bilion unit bernilai RM817.89 juta daripada 2.75 bilion unit bernilai RM814.09 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 1.40 bilion saham bernilai RM290.52 juta daripada 2.58 bilion saham bernilai RM178.25 juta.

— BERNAMA