KUALA LUMPUR – Petronas Lubricants International (PLI), sedang mencari Jurutera Bendalir Litar bagi memberikan sokongan teknikal di litar, terhadap prestasi penUyelesaian teknologi bendalir untuk Juara Dunia empat kali FIA Formula One, Mercedes-AMG Petronas Motorsport.
Pencarian dibuka sehingga 7 Oktober tahun ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat minyak dan gas kebangsaan itu berkata, PLI memberi peluang kepada individu yang berkelayakan, berminat, bermotivasi dan responsif di seluruh dunia untuk menjadi antara pakar teknikal untuk pasukan sokongan di litar, Mercedes-AMG Petronas Motorsport
“Sukacita kami mengumumkan pencarian global pertama untuk jurutera bendalir di litar Petronas untuk menyertai kami dan akan diberi tunjuk ajar oleh jurutera yang ada untuk memimpin kegiatan perkhidmatan kami di litar, untuk Formula Satu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PLI Group, Giuseppe D’Arrigo.
PLI bergantung kepada pengetahuan kolektif pasukan teknologinya, termasuk krew yang memberikan perkhidmatan terhadap keperluan di litar untuk Mercedes-AMG Petronas Motorsport, kerana Formula Satu adalah elemen utama dalam membangunkan dan membuktikan konsep produk bagi membuka jalan untuk teknologi bendalir masa depan.
“Ini adalah peluang yang jarang-jarang dan menarik untuk menjadi sebahagian daripada pasukan yang bekerja dalam pembangunan teknologi bendalir untuk sistem penggerak yang paling pantas dan berkuasa di dunia. Sesetengah orang mungkin menganggap ini adalah pekerjaan yang paling ?cool’ di dunia,” katanya.
D’Arrigo berkata, PETRONAS sudah menggunakan perkhidmatan jurutera yang mengembara bersama pasukan berkenaan sejak ia mengadakan usaha sama dengan F1 Mercedes pada 2010.
Jurutera berkenaan beroperasi di makmal kompak untuk perkhidmatan berkaitan bendalir di ujian Formula Satu dan acara perlumbaan di seluruh dunia dan menyediakan analisa masa sebenar untuk Penyelesaian Tekonologi Bendalir PETRONAS, produk dan perkhidmatan yang dibuat khas termasuk Primax Fuel and Syntium Lubricant. – Bernama