KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd. berharap lawatan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China bakal mengukuhkan perdagangan dua hala di antara kedua-dua hala termasuk berkaitan minyak kelapa sawit.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zakaria Arshad berkata, syarikat peladangan sawit terbesar di Malaysia itu memang telah lama mempunyai pasaran di negara tersebut.
Bagaimanapun, penguasaan pasaran mereka semakin mengecil berikutan persaingan sengit terutama dari Indonesia.
“Import ke China kurang sedikit sekarang kerana persaingan sengit dari segi harga.
“Kita harap lawatan tersebut boleh mengukuhkan lagi perdagangan dua hala. Memang kita meletakkan harapan yang tinggi,” katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka FGV Holdings di sini hari ini.
Menurut Zakaria, FGV Holdings masih belum diberi makluman dari Pejabat Perdana Menteri sama ada perlu menghantar delegasi ke lawatan tersebut.
Katanya, ketika ini penguasaan pasaran FGV Holdings di China adalah sekitar 20 peratus sehingga 30 peratus.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pasukan pengurusan FGV Holdings selepas kerajaan baharu ditubuhkan, Zakaria berkata, tiada perubahan kepada pasukan pengurusan tetapi syarikat tersebut melakukan perubahan terhadap cara kerja mereka.
Jelasnya, ketika ini, FGV Holdings mengamalkan cara perniagaan yang lebih fokus dan pantas. – MalaysiaGazette