KUALA LUMPUR – Mana ada harga gula pasir naik. Harganya masih kekal!
Tinjauan MalaysiaGazette di beberapa pasar raya dan kedai-kedai runcit mendapati harga barang keperluan itu tidak naik seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial.
Harga runcit gula pasir kasar masih kekal RM2.95 sekilogram manakala harga gula pasir halus dijual RM3.05 sekilogram sejak Mac tahun lalu.
Sumber industri berkata, gula tidak dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan, justeru tidak sepatutnya ada kenaikan atau penurunan harga.
Malah, katanya, dalam kalangan negara ASEAN dan Asia Tenggara, harga gula di Malaysia adalah paling murah.
Walaupun gula tidak lagi disubsidi tetapi penetapan harga siling masih dikawal oleh kerajaan.
Baru-baru ini, ada pemilik Facebook berkongsi rasa tidak puas hati tentang kenaikan harga gula yang didakwa meningkat kepada RM3.05 sekilogram.
Menurutnya, kenaikan harga gula itu akan mencetuskan kenaikan harga segelas teh tarik dan kuih-muih. – MalaysiaGazette