
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood mengumumkan keputusan itu dalam sidang media di ibu pejabat suruhanjaya itu hari ini.
SPR juga menetapkan tarikh penamaan calon bagi kerusi N49 itu pada 21 Julai ini setelah bermesyuarat pukul 10 pagi tadi.
“Tempoh berkempen bagi PRK kali ini adalah ditetapkan selama 14 hari.
“Calon parti politik bertanding dibenarkan berkempen mulai hari penamaan calon hingga 11.59 malam pada 3 Ogos nanti,” katanya pada sidang media tersebut.
Tambah beliau, untuk PRK kali ini sebanyak 51,230 pemilih berdaftar layak mengundi mengikut daftar pemilih sehingga suku pertama 2018 yang telah dikemaskini pada 2 Julai lalu.
Malah katanya, SPR juga bakal melakukan beberapa penambahbaikan dalam PRK DUN Sungai Kandis kali ini.
“Ia termasuklah waktu mengundi dikemaskini iaitu dibenarkan mulai pukul 8 pagi hingga 5.30 petang selain penambahan saluran,” tambah beliau.
PRK Sungai Kandis diadakan selepas Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim memaklumkan kekosongan sehari setelah penyandangnya, Mat Suhaimi Shafiei meninggal dunia akibat penyakit kanser pada 2 Julai lalu.
Ia merupakan PRK pertama selepas PRU14.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 mei lalu menyaksikan Suhaimi mempertahankan kerusinya dengan meraih 55.6 peratus undi dan majoriti 12,480 menawaskan calon BN, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM). – MalaysiaGazette