PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa salah guna kuasa dan rasuah oleh pentadbiran kerajaan sebelum ini menjadi punca kegagalan negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Kegagalan itu akan menyebabkan Malaysia dijadikan bahan jenaka oleh dunia.
Perdana Menteri berkata, dunia akan melihat Malaysia sambil mengejek dan menyatakan kita tidak dapat membangun negara sendiri.
Lantaran itu, beliau menyeru penjawat-penjawat awam supaya bangkit semula, bekerja keras dengan iklas dan jujur untuk memastikan misi Wawasan 2020 boleh diteruskan.
“Kualiti-kualiti ini perlu dikekalkan oleh mereka yang diberi kuasa jika mahu negara ini mencapai status negara maju.
“Jika tidak, kita akan diketawakan oleh dunia kerana tidak mampu membangunkan negara sendiri,” katanya ketika berucap di Perhimpunan Bulanan di Dataran Perdana pagi tadi.
Tegas beliau, berdoa sahaja tidak cukup untuk membawa sebarang hasil dan menjayakan matlamat negara menjadi sebuah negara maju. Segala cita-cita tidak datang bergolek.
“Sebaliknya ia perlu diiringi dalam bentuk tindakan dan tingkah laku yang baik.
“Semua negara-negara yang mencapai status negara maju dilaksanakan oleh orang-orang yang bekerja keras dan menghargai ilmu,” katanya sambil menekankan bahawa semua keupayaan manusia dijadikan sama oleh Allah.
Tegasnya, semua bergantung kepada keupayaan dan kesungguhan masing-masing dan bukan ditetapkan dari mana asal, bangsa atau warna kulit. – MalaysiaGazette