Home Nasional HFMD: Tadika, taska, pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup di P. Pinang

HFMD: Tadika, taska, pusat jagaan kanak-kanak diarah tutup di P. Pinang

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah

PULAU PINANG – Sebanyak 13 buah tadika, sebuah taska dan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di negeri ini diarahkan tutup  selama 10 hari beriiutan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr. Wan Mansor Hamzah berkata, turut diarah tutup adalah dua kelas di dua buah sekolah rendah di Georgetown di sini.

Menurut beliau, setakat ini juga, seramai tiga kanak-kanak berusia antara dua hingga 10 tahun masih dirawat di hospital akibat dijangkiti wabak berkenaan.

“Sehingga hari ini, Pulau Pinang mencatatkan sebanyak 1,679 kes HFMD  sejak Januari lalu iaitu  peningkatan sebanyak 56.47 peratus berbanding  1, 073 kes bagi tempoh sama tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara  itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani serta Pembangunan Luar Bandar Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan negeri bagi membolehkan pihak terbabit membersihkan premis berikutan wabak berkenaan.

Pada masa sama, Afif meminta ibu bapa memberi kerjasama dengan  tidak menghantar anak-anak mereka yang dijangkiti penyakit berkenaan ke sekolah bagi mengekang penularan virus berkenaan.

“Kerajaan negeri memandang serius penularan penyakit ini dan berharap ibu bapa dapat mengambil cuti bagi menjalankan proses kuarantin anak-anak yang dijangkiti HFMD di rumah,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri turut memberi cuti kuarantin kepada penjawat awam di negeri ini bagi membolehkan ibu bapa menjaga anak mereka di rumah sehingga sembuh.

“Kita juga berharap sektor swasta dapat mempertimbangkan cuti bagi membolehkan pekerja mereka menjaga anak-anak yang dijangkiti penyakit itu di rumah,” katanya.

HFMD adalah penyakit akibat jangkitan virus khususnya jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 yang menular melalui sentuhan langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis penghidapnya.

Antara gejala penyakit itu adalah demam, ruam atau lepuh di tapak tangan dan kaki, serta ulser pada mulut serta lidah.- MalaysiaGazette