PUTRAJAYA – Kerajaan tidak bercadang untuk membawa isu perkahwinan bawah umur ke sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung minggu depan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Ini kerana perkara tersebut memerlukan beberapa proses terlebih dahulu termasuklah mengadakan perbincangan dengan Majlis Fatwa dan Majlis Agama Islam di peringkat negeri.
“Setakat sekarang ini kita merancang untuk menaikkan umur perkahwinan minimum.
“Namun kita juga kena berbincang dengan majlis fatwa, majlis agama sebab ia tidak senang,” katanya yang juga Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga ketika sidang media.
Mengulas mengenai perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun yang mendapat perhatian media baru-baru ini, Wan Azizah berkata, hasil pemantauan Kebajikan Masyarakat mendapati gadis berkenaan tidak didera atau dipaksa untuk berkahwin dengan lelaki berusia 41 tahun di Golok.
Terbaru lelaki tersebut dilaporkan telah dikenakan denda RM1,800 kerana berpoligami tanpa kebenaran mengikut Seksyen 19 dan Seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (No 6) 2002 Negeri Kelantan.-MalaysiaGazette