Home Nasional Koperasi Polis rancang terokai sektor digital

Koperasi Polis rancang terokai sektor digital

Pengerusi Koperasi PDRM, Tan Sri Hussin Ismail menerima replika cek dividen keuntungan daripada Pengerusi Kop Mantap, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia di Dewan Bankuet, Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raya Muda, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 JULAI 2018
Pengerusi Koperasi PDRM, Tan Sri Hussin Ismail menerima replika cek dividen keuntungan daripada Pengerusi Kop Mantap, Datuk Iskandar Datuk Abdul Malik sambil diperhatikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun pada Mesyuarat Agung Tahunan Perwakilan Koperasi Polis Diraja Malaysia di Dewan Bankuet, Hotel Kuala Lumpur International, Jalan Raya Muda, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 10 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDM) akan meneroka pasaran baharu bagi memperluaskan entiti perniagaan serta prestasi kewangan pada masa akan datang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, langkah itu penting untuk memastikan koperasi yang mempunyai keahlian hampir 100,000 orang itu terus mencatatkan pertumbuhan kewangan yang cemerlang.

Katanya, antara bidang yang dikenalpasti ialah sektor gajet digital dan teknologi maklumat serta sektor perkhidmatan dan rantaian pembekalan yang akan diterokai dalam masa beberapa tahun akan datang.

“Tiba masanya koperasi polis meneroka pasaran baharu yang selamat dan boleh menjamin pulangan pelaburan kepada pengukuhan syarikat.

“Kita tidak boleh lagi bergantung pelaburan secara konvensional sekadar mendapat pulangan hasil pinjaman kewangan sahaja jika mengikut pasaran moden semasa.

“Saya dimaklumkan keuntungan lebih RM1 bilion ketika ini tetapi keuntungan bakal dicapai tidak ke mana.

“Perkhidmatan sekuriti, rantaian pembekalan serta teknologi digital muda membawa pulangan baharu dan kurang berisiko.

“Manakala kita juga sedang mencari peluang memajukan tanah yang sedia ada dimiliki koperasi di seluruh negara untuk pulangan tambahan dan konsisten,” katanya pada Mesyuarat Agung Tahunan KPDM ke-83 hari ini.

Pada majlis itu, Mohamad Fuzi yang juga Yang Dipertua KPDM mengumumkan dividen sebanyak 13 peratus untuk tahun 2017.

Bagi tahun kewangan sama, koperasi itu mencatatkan keuntungan bersih sebelum cukai sebanyak RM59.9 juta berbanding RM49.8 juta pada tahun kewangan sebelumnya.

Sementara itu, Mohamad Fuzi mahu pengurusan dan barisan kepimpinan sedia ada memperkukuh usaha dan kerjasama bagi terus menjamin pulangan baik untuk syarikat,

“Faktor penyelewengan perlu dihindarkan dan kita perlu berubah mengikut landskap perniagaan semasa supaya lebih agresif dan relevan,” katanya. – MalaysiaGazette

+ posts