Home Nasional Tubuh JKKMAR elak PM bermaharajalela

Tubuh JKKMAR elak PM bermaharajalela

mohamad sabu
Mohamad Sabu bercakap semasa sidang media pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kementerian Pertahanan 2018 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyambut baik langkah Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) yang memutuskan untuk mewujudkan undang-undang dalam usaha membendung amalan rasuah di semua peringkat dalam kerajaan.

Katanya, perkara tersebut wajar dilakukan bagi mengelak Perdana Menteri menggunakan kuasa dan bermaharajalela.

“Dulu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri dikecualikan kali ni tidak. Mereka ini adalah anggota awam.

“Bagus sebab orang yang paling berkuasa adalah Perdana Menteri. Kalau dia dikecualikan, nanti dia bermaharajalela,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Hilmi Abd Manaf dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Dalam perkembangan sama, Mohamad Sabu berkata, bagi tujuan itu beliau bersedia mengisytiharkan harta yang dimilikinya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurutnya, perkara sama pernah dilakukan olehnya kepada Pertubuhan Invoke Malaysia (INVOKE).

“Saya bila-bila masa, dulu saya pernah isytihar dekat Invoke, jadi saya tak kisah,” ujarnya.

Dalam sidang media pagi tadi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan, tiada lagi Ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan (PH) yang menyahut seruannya untuk mengisytiharkan harta masing-masing.

Menurut Dr Mahathir, perkara itu masih belum dilakukan oleh mana-mana Ahli Parlimen pihaknya kepada SPRM dalam masa terdekat.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin yang juga Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (PAN) yang kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya, Mohamad Sabu berkata, Ahli Parlimen daripada Parti Amanah Negara (PAN) itu sudah pulih dan akan keluar dari hospital bila-bila masa.

Semalam, Mohamed Hanipa rebah ketika Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sedang berlangsung, di Dataran Bangunan Perdana Putra.

Hadirin yang mengikuti perhimpunan itu terkejut apabila beliau tiba-tiba jatuh dari pentas ketika Dr Mahathir sedang berucap.

Dr Mahathir yang terkejut dengan kejadian itu berhenti berucap buat seketika, namun kembali meneruskan ucapannya.

Pada 2016, Mohamed Hanipa yang juga Ahli Parlimen Sepang pernah menjalani pembedahan dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Jabatan Neurologi Hospital Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar.

Beliau juga pernah pengsan secara tiba-tiba ketika sidang Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette